Saturday, December 10, 2011

Masa Berlalu Pergi




Debaran kian terasa. Detik demi detik perjalanan terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Masa berlalu dan masa akan datang menuntut pengisian yang memberi maslahat. Apakah kita telah berada dalam lingkaran pengisian yang berfaedah seterusnya memberikan input yang gitu dalam membimbing perjalanan kita menuju kehidupan yang abadi, kelak?


Masa berterusan berlalu, kalendar sering pula berganti bulan. Bulan di langit di malam hari sering pula berganti bentuk mengikut fitrahnya. Tiada masa yang berhenti.


Masa kalau dilihat, memanglah terdiri daripada susunan nombor. Masa yang berlalu tidak terasa durasinya. Meninggalkan perkara-perkara yang mengesankan di dalam benak minda.


Al-’Asr 103: (1-3)
[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar


Mari kita terokai pembacaan yang sering kita bacakan pada kebiasaannya di akhir majlis. Tidaklah bermaksud surah Al-Asr ini hanya dibaca di akhir majlis, tetapi pengisian di sini mungkin dapat memberikan perkongsian kepada pembaca berkenaan maksud yang tersirat di sebalik al-'Asr.

Asas makna al-’asr ini ialah “memerah sesuatu sehingga menitis.” Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah. Atas dasar itulah, Allah menggunakan perkataan mu’siraat seperti mana tertulis dalam surah an-Naba’ ayat 14 yang bermaksud:

[Dan Kami menurunkan dari awan (mu'siraat) , air hujan yang mencurah-curah.]

Selain itu, Allah menyatakan setelah beriman dan beramal soleh, ia tidak berhenti di situ sahaja. Perlu ada nasihat atas dasar kebenaran dan kesabaran kerana dengan kaedah ini sahajalah, kita akan mampu untuk terus beriman dan beramal. Jika tidak, ia akan mendatangkan kelesuan dan keletihan seterusnya kita gugur dalam lapangan iman amal.

Marilah kita sama-sama memerhati makna al-asr yang sebenar-benarnya. Memang ‘amal perlu diusahakan. Ia tidak sepertimana cita-cita kosong (amal – dieja dengan alif mim laam). ‘Amal (dieja ‘ain mim laam) perlu diberi satu tujahan untuk menjadi realiti. Jangan lagi kita menanti dan menunggu, tetapi tujahkan diri kita agar mampu ber’amal dengan sebenarnya.

Awan ialah mu’siraat yang dikaitkan dengan perkataan al-’asr di mana awan akan ‘diperah‘ bagi menghasilkan hujan yang turun dan dapat kita nikmati dalam kehidupan seharian. Atas roh inilah juga kita memahami al-asr atau masa umur yang Allah kurniakan pada kita. Apa yang perlu kita buat? Kita perlu memerah‘nya sekuat tenaga agar terhasil iman dan amal. Orang yang tidak memerah umurnya akan sentiasa berada dalam kerugian.

0 comments:

Post a Comment

Assalam. Mohon menggunakan kata-kata yang sopan dan membina. Syukran.

 
Official Website E.A.C | Concept and design by Anis Hayati - NisDesign