Friday, August 19, 2011

Perkongsian Esei Sayembara Hari Belia

 Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Insha-Allah.

Penulis merupakan ahli EAC dan bersetuju untuk membuat perkongsian eseinya di blog EAC sendiri. Penulis memenangi tempat saguhati, maklumat lanjut boleh layari laman sesawang http://www.belia2011.org/modules.php?name=News&file=article&sid=36.

Esei,
Sayembara Penulisan dalam Talian
http://www.belia2011.org

Belia pemangkin peradaban 1 Malaysia
Nur Asilah Jamil



1 MALAYSIA merupakan gagasan yang dibawa Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dalam menjamin peradaban negara seiring dengan sirkulasi masa kini. Konsepnya membawa masyarakat mengamalkan konsep keadilan dan menolak keras kesamarataan seperti konsep Malaysian Malaysia. Pengalaman 13 Mei 1969 mengajar erti pengalaman untuk terus bersatu padu dan bermuafakat dalam menggerakkan peradaban bangsa 1 Malaysia. Perpaduan dipelihara sebagai bekalan terbaik untuk mengahadapi sebarang cabaran bagi mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Perpaduan inilah yang menjadi sumber kekuatan untuk mempertahankan kedamaian negara Malaysia.

Tiga teras gagasan yang menjadi pegangan konsep 1 Malaysia berasaskan penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial. Rakyat Malaysia mempunyai cara hidup amalan kebudayaan yang berpuspawarna, saling menerima antara satu sama lain seperti rakan setia. Begitu juga dengan teras kenegaraan yang membawa masyarakat untuk menyerap semangat perpaduan, nasionalisme dan patriotisme. Keadilan sosial merupakan satu penjenamaan dalam kebajikan masyarakat Malaysia dan tuntutan yang dilaksanakan dijalankan dengan adil. Asas-asas inilah yang dipegang untuk berdepan dengan cabaran perpaduan kaum di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India serta bumiputer yang merupakan golongan majoriti. Dasar-dasar yang dibentangkan dan dijalankan oleh kerajaan jelas menunjukkan kesungguhan dalam menjamin keamanan Negara sekaligus menyuburkan nilai aspirasi dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini. Hal ini demikian kerana konsep 1 Malaysia yang telah menggabungkan pelbagai aspek demi menyuburkan perpaduan dalam setiap diri masyarakat.

Di sinilah peranan belia yang menjadi nadi utama negara memainkan peranan dalam menggerakkan dasar yang sudah termaktub. Belia merupakan aset negara, penyumbang ketamadunan. Cabaran akan hadir apabila peranan dimainkan. Inilah yang membentuk kematangan dalam menjalankan tindakan. Belia yang bijak ialah belia yang berfikir dengan akal yang waras. Karektor belia yang berfikiran terbuka, interaksinya meluas dan berkemahiran insaniah yang melibatkan elemen kognitif juga merupakan langkah proaktif para belia untuk mengharungi getir cabaran negara membangun.

Perpaduan merupakan salah satu jalan terbaik dalam mendepani cabaran yang datang. Tidak hairanlah dengan gejala sosial yang semakin bertambah hanya kerana tindakan belia di luar batasan. Kesepaduan masyarakat dan belia yang hidup saling berpimpinan membawa kita untuk mendekati antara satu sama lain dan menyelami hati dan suara masing-masing. Kerja berpasukan memberi impak kepada mereka untuk bekerja bersama-sama tanpa sebarang syarat mahupun dianaktirikan. Rasa tanggungjawab inilah yang mencetuskan revolusi pemikiran dalam tindakan dan membuat keputusan dengan baik dan pantas (critical thinking). Di sinilah peranan mereka dalam menyuarakan pendapat melalui saluran yang betul seperti idea untuk inovasi pembangunan, surat kepada perdana menteri yang bergerak seiring dengan perlaksanaan dan suara rakyat. Pencapaian rakyat begitu diutamakan sehinggakan Perdana Menteri kita sanggup turun padang bersama-sama rakyat, menyelami jiwa rakyat sekaligus merasai kemesraan antara jalinan pemimpin dan rakyat.

Menerusi konsep Rukun Negara, konsep 1 Malaysia yang digagaskan dapat diperjuangkan kerana segala yang terkandung dalam Rukun Negara sendiri telah terangkumnya gagasan yang berasas. Sembilan nilai aspirasi yang ditekankan salah satu cara untuk berdepan dengan cabaran. Antara nilai aspirasi yang terkandung dalam sembilan aspek terdiri daripada integriti, ketabahan, inovasi, membudayakan ilmu, berprestasi tinggi, kesetiaan, ketepatan dan meritokrasi inilah yang mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian rakyat Malaysia.

Belia merupakan antara golongan yang menjadi pemimpin generasi masa hadapan. Sumbangan dari segi pemikiran mereka yang segar membawa kerajaan untuk menyenaraikan ilham-ilham yang membangunkan negara. Memang benar belia aspirasi negara. Khidmat yang diberikan sekaligus menjadikan salah satu pengorbanan mereka walaupun tidak mengeluarkan peluh, namun buah fikiran merekalah yang menjadikan negara  kita terus berada di mercu kejayaan.

Saya titip dari satu laman sesawang di  http://www.ippbm.gov.my di mana terdapatnya penjelasan yang diberikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkenaan gagasan 1 Malaysia bergerak seiring dengan perpaduan,
 “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

            Belia menjadi sumber pemangkin peradaban 1 Malaysia dan merupakan golongan yang menjadi penyumbang kepada penjenamaan ekonomi, sosial dan pentadbiran. Dalam melahirkan belia yang mempunyai semangat kenegaraan, pelbagai pendedahan telah dilaksanakan untuk memberi ruang kepada belia mengenali dan menghayati makna kesetiaan. Contoh yang dapat kita lihat, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) yang dianjurkan telah menerapkan nilai-nilai patriotisme dan saling berkerjasama dalam menggerakkan sesuatu pekerjaan sekaligus menjadikan setiap pesertanya mengenali antara satu sama lain.

            Secara tuntasnya dapat kita lihat bahawa generasi belia merupakan golongan harapan negara yang akan memandu pergerakkan negara. Inovasi dan anjakan paradigma yang dilakukan belia ini menjadi langkah mereka untuk bersama-sama membangunkan negara. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Kita sama-sama merasakan nikmat yang terpahat dan bersama-sama mengharungi cabaran negara. Sikap rakyat Malaysia inilah yang menjadi tonggak kepada pembentukkan belia yang mempunyai nilai-nilai aspirasi seterusnya menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang mencapai matlamat.  Jadilah belia yang mempunyai rasional pemikiran dan berideologi. Pemikiran dan nilai murni jati diri menghasilkan perlaksanaan positif belia untuk bijak memimpin negara.

0 comments:

Post a Comment

Assalam. Mohon menggunakan kata-kata yang sopan dan membina. Syukran.

 
Official Website E.A.C | Concept and design by Anis Hayati - NisDesign