Hiduplah dengan akal dan jiwa yang sebati.
Begitulah adunan yang menjadi doh kehidupan, lebih lengkap dengan perisa Al-Quran dan As-Sunnah.
Masyarakat umum tidak kira dari segi kanak-kanak, remaja, belia mahupun warga tua hari ini, cabaran hidup tidak akan terlepas daripada diari harian. Menjadi rutin yang tidak pernah henti. Sesungguhnya ia sebuah nikmat. Pahit manis kehidupan adalah anugerah. Perjalanan berteman akal waras..
Pertama-tamanya, diri sendiri.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
(layaknya mengganti Karam Sigh, apakan daya, kita sama-sama belajar) ~ selingan lewah
Kita (individu- diri sendiri) perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan agama secukupnya dalam membina ketahanan diri dan iman. Iman yang mantap menjadi senjata, menolak sebarang godaan ke arah jalan yang merosakkan diri sendiri.
Seseorang akan melalui kehidupan yang baik jika berjaya mengharungi cabarannya zamannya dengan tenang, penuh kebaikan, mampu menolak kehendak nafsu. Percayalah, Allah bersama orang yang sabar. Tidak ramai yang sempurna untuk bersama mengimarahkan dunia, namun kepelbagaian inilah yang membuat kita saling membantu dengan keistimewaan yang ada.
Setiap yang berlaku punya hikmahnya.Seringkali ayat ini menjadi tatapan halwa telinga. Sesungguhnya ia benar. Allah Maha Adil. Tidak membiarkan hambanya terkontang-kanting memilih haluan hidup. Sedikit yang ditarik, banyak yang diberi. Sehela nafas, sedenyut nadi sudah menjadi bukti keagungan-Nya. Diri sendiri sebagai peminjam wajib mensyukuri.
Kajilah baik buruk setiap tindakan dan tingkah laku sendiri. Bermuhasabah memikirkan kelakuan yang telah dilakukan. Umpama eksperimen, analisa kembali apa yang menjadi aparatus mahupun material yang menjadi pembolehubah manipulasi.
Tanamlah identiti dan jati diri yang mantap dalam diri. Berpegang pada misi dan visi seterusnya mencapai kepada matlamat yang ditetapkan. Ya, bisikan syaitan untuk merombak anak Adam itu sentiasa. Di sinilah kekentalan jiwa mengambil alih. Setiap manusia dikurniakan Allah dengan kelebihan yang berbeza-beza. Kelebihan inilah yang menjadi petunjuk kepada diri sendiri untuk membina identiti sendiri.
Mari kita sama-sama membanjiri tanah air ini dengan jiwa kepemimpinan, dengan wajah soleh lagi musleh, berkait pula dengan akhlak dan wawasan, sebagai diri kita sendiri yang impikan kematian dalam kemanisan iman berkonklusikan junjungan tinggi kepada agama.
Melalui azam untuk meningkatkan kualiti diri melalui akademik dan pembinaan kemahiran insaniah, kita bukan saja sedar dengan matlamat, malah kita tahu untuk menghayun langkah, menjalankan kehidupan tanpa paksaan ataupun merasai kekosongan jiwa. Semuanya bermula dengan diri sendiri untuk mencapai keredhaan daripada Allah.
Kejayaan bukan di depan mata, tetapi dalam genggaman
Ada paduan niat
dicampur ikhlas kemurnian
menjadi acuan kental
perisanya iman dan takwa
usaha juga tawakal
0 comments:
Post a Comment
Assalam. Mohon menggunakan kata-kata yang sopan dan membina. Syukran.